SWANSEA: Olivier Giroud bermula di bangku simpanan ketika
berkunjung ke Swansea awal pagi tadi beberapa jam selepas laporan menyatakan
penyerang Perancis itu bersetuju berpindah ke Chelsea dengan harga STG18 juta
(RM99.34 juta).
Dengan penyerang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang
dalam genggaman, pengurus Gunners, Arsene Wenger sedia melepaskan Giroud tetapi
masih menyenaraikan pemain itu sebagai pemain simpanan di Stadium Liberty.
Chelsea berminat mendapatkan Giroud sebelum tamat tempoh jendela
perpindahan dengan penyerang Blues, Michy Batshuayi berkemungkinan menuju
Borussia.
Kedatangan Aubameyang di saat akhir sudah dijangka kerana
Gunners mahu mendapatkan terlebih dahulu pengganti sebelum melepaskan Giroud.
Laporan menyatakan kelab utara London itu membayar STG55 juta
(RM303.55 juta) sekali gus memecahkan rekod perpindahan buat kali kedua dalam
masa enam bulan selepas membeli Alexandre Lacazette dari Lyon.
Walapun Dortmund berminat mendapatkan Giroud namun Chelsea lebih
menunjukkan kesungguhan membeli pemain berusia 31 tahun itu.
Giroud hanya beraksi dalam satu perlawanan liga dan terdesak
mencari pasukan baru bagi memastikan tempat dalam skuad Piala Dunia Perancis
terjamin. – AFP
KOMBINASI tiga penyerang yang saling berkaitan pada perpindahan kali ini
dengan Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) akan ke Arsenal, Chelsea berminat
mendapatkan Giroud dan penyerang The Blues, Batshuayi (kanan) berkemungkinan
menuju Dortmund. - Foto EPA
PENGURUS Arsenal,
Arsene Wenger sedia melepaskan Giroud tetapi mahu mendapatkan terlebih dahulu
pengganti sebelum melepaskan pemain itu.- Foto Reuters



Comments
Post a Comment