LONDON: Kapten Chelsea, Gary Cahill menegaskan dia dan rakan
sepasukannya “tidak tahu menahu” mengenai masa depan Antonio Conte di kelab
juara Liga Perdana Inggeris itu ketika mereka bersiap sedia untuk berdepan
Bournemouth, awal pagi Khamis ini.
Pengendali dari Itali itu mengemudi Blues melakar kejuaraan liga
pada musim sulungnya namun beliau kini diselubungi spekulasi sejak musim panas
lalu, dengan laporan perbalahan antara kelab dan jurulatih itu mengenai polisi
pembelian pemain Chelsea.
“Ia antara pengurus dan lembaga pengarah. Kami tidak tahu menahu
mengenainya, kami tidak tahu apa yang berlaku,” kata pertahanan tengah England
itu kepada wartawan.
“Saya sudah banyak mengalaminya di sini tapi ini adalah tempoh
kejayaan. Chelsea kelab bola sepak yang berjaya dan beliau seorang pengurus
ternama. Kami tidak terjejas.”
Pasukan tangga ketiga Chelsea ketinggalan 15 mata di belakang
pendahulu Manchester City dan Conte makin tertekan namun Cahill menegaskan
beliau masih mendapat sokongan semua pemain.
“Sudah tentu kami 100 peratus di belakangnya. Tiada apa yang
berlaku antara pengurus dan pemain,” ujarnya.
“Jika Manchester City tidak melakukan apa yang mereka lakukan,
kejuaraan masih boleh dimenangi.
“Musim ini mereka amat mengagumkan, tapi kami masih boleh berjuang
merebut tangga kedua. Kami berdepan bulan penting tidak lama lagi... harapnya
kami melepasi bulan itu dengan cara positif.”
Cahill mengakui pasukannya berdepan kesukaran menangani jadual
padat dengan kunjungan Bournemouth adalah aksi kesembilan mereka bulan ini.
Mereka tunduk di tangan Arsenal pada separuh akhir Piala Liga
minggu lalu namun akan menanti kunjungan Hull City pada pusingan kelima Piala
FA serta menanti Barcelona pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.
“Beberapa
bulan terakhir terlalu sukar,” katanya.

Comments
Post a Comment