LONDON: Chelsea memerlukan sepakan penentuan penalti sebelum
menyingkirkan Norwich selepas seri 1-1 dalam aksi ulangan pusingan ketiga pagi
ini, ketika Bournemouth diaibkan Wigan 0-3.
Skuad Antonio Conte mengharungi perlawanan sehingga tamat masa
tambahan dengan sembilan pemain apabila kad merah pada babak akhir perlawanan dilayangkan
kepada Pedro dan Alvaro Morata di Stamford Bridge.
Mereka dipaksa bertarung hingga ke masa tambahan apabila gol
penyamaan saat akhir Jamal Lewis memadamkan jaringan Michy Batshuayi sebelum
itu.
Penjaga gol simpanan Chelsea, Willy Caballero muncul wira
apabila menyelamatkan percubaan Nelson Oliveira dalam penentuan penalti yang
berkesudahan 5-3 yang membawa Blues berdepan Newcastle pada pusingan keempat.
Ia adalah kemenangan pertama Chelsea pada tahun ini, selepas
seri empat perlawanan semua kejohanan sejak awal tahun ini.
"Inilah Piala FA, bukan mudah untuk memenangi perlawanan.
Kami memberikan segala-galanya, pada akhirnya kami bermain dengan sembilan
pemain jadi kami memberikan karakter yang hebat," kata bintang Chelsea,
Eden Hazard.
"Kami gembira tetapi juga sedih kerana kehilangan dua
pemain. Kini kami boleh terus fokus kepada liga."
Pengurus Norwich, Daniel Farke menambah: "Secara jujurnya
ia amat mengecewakan, ada di antara pemain menangis di bilik persalinan."
Conte membuat sembilan
pertukaran daripada perlawanan menentang Leicester yang berkesudahan seri 0-0
Sabtu lalu dengan Hazard, Cesc Fabregas, Thibaut Courtois dan N'Golo Kante
diketepikan daripada kesebelasan utama.
Selepas perlawanan
ditangguhkan selama 15 minit berikutan kesesakan trafik di luar stadium,
Chelsea mendominasi separuh masa pertama dan hampir mendahului perlawanan
apabila rembatan jauh Danny Drinkwater terkena palang. - AFP
PENJAGA gol simpanan
Chelsea, Willy Caballero ketika menyelamatkan sepakan penalti pemain Norwich,
Nelson Oliveira. - Foto AFP
PEDRO dilayangkan kad
merah pengadil perlawanan. - Foto REUTERS



Comments
Post a Comment