SELEPAS berehat hampir dua minggu, saingan Liga Perdana Inggeris
(EPL) kembali lagi minggu ini dengan perlawanan tumpuan sudah pasti terarah
kepada aksi Manchester United dan penyandang juara, Chelsea di Old Trafford.
Ada yang kata, ia aksi merah lawan biru. Jose Mourinho lawan
Antonio Conte. Romelu Lukaku lawan Alvaro Morata. Eden Hazard lawan Alexis
Sanchez dan Paul Pogba lawan N'Golo Kante.
Apa juga label diberi, ia sememangnya perlawanan dinantikan
ramai terutama di kalangan penyokong tegar kedua-dua kelab. Tentunya hebat dan
memercikan suasana sengit.
Kunjungan The Blues ke gelanggang keramat Red Devils pada jam
10.05 malam waktu Malaysia itu jelas dianggap menjadi perlawanan penting bagi
kedua-dua pasukan gergasi EPL ini.
Ini kerana selepas prestasi merudum secara dramatik dalam
perlawanan lalu, kedudukan dalam kelompok empat terbaik liga kini tergugat
sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan terhimpit.
Baik United atau Chelsea, mereka tiada pilihan lagi kecuali
memenangi pertemuan itu. Ketika ini, dua pesaing terdekat mereka iaitu
Liverpool dan Tottenham Hotspur hanya menunggu masa untuk memintas.
The Blues kini di tangga keempat liga, ketinggalan tiga mata di
belakang Red Devils yang berada di posisi kedua. Liverpool pula ketiga, dua
mata memisahkannya dengan United manakala Spurs, keempat hanya satu mata di
belakang Chelsea.
Barisan Jurgen Klopp mampu merampas tempat anak buah Mourinho
andai menewaskan West Ham malam ini, sementara menunggu aksi United-Chelsea
kira-kira 24 jam selepas itu.
Selain persaingan 'merah dan biru', aksi ini juga menarik
perhatian kerana pertelagahan antara Mourinho dan Conte. Kedua-dua pembimbing
ini tidak sebulu selepas Mourinho memberikan komen sinis mengenai sikap Conte
di padang.
Pembimbing The Blues dalam komen balasnya kemudian mendakwa
jurulatih Portugal itu terbabit dengan skandal menjual perlawanan di Itali,
yang kemudian didapati tidak benar.
Mourinho sebelum ini adalah juga bekas jurulatih Chelsea. Empat
rekod pertemuan dua jurulatih berkenaan setakat ini menyebelahi Conte apabila
menang tiga daripadanya.
Isu Lukaku dan Morata turut menghangatkan pertembungan kedua-dua
pasukan. Antara pemain termahal dalam EPL, kedua-duanya sebelum ini dikaitkan
berpindah ke Chelsea dan United, sebelum akhirnya Lukaku menghala Red Devils
dan Morata ke Stamford Bridge dalam persaingan sengit pada awal musim.
Peminat kedua-dua pasukan juga diheret menyaksikan perlawanan
ini bagi melihat dua ayam tambatan mereka beraksi - Sanchez dan Hazard.
Siapakah yang bakal mendominasi serangan malam esok?
Bagi pertembungan dua perancang terbaik liga - Pogba dan Kante,
ia dijangka berlaku di pertengahan aksi. Pogba dijangka tersisih sebagai
simpanan seperti ketika pertemuan dengan Sevilla pada pertengahan minggu dalam
aksi Liga Juara-Juara.
Apapun pada pertemuan pertama 5 November lalu di Stamford
Bridge, Chelsea menang 1-0. Dan The Blues pasti sudah mensasarkan untuk
mencipta kemenangan berganda bagi kali keempat selepas musim 2009/2010,
2004/2005 dan 1993/1994.
Dalam pada itu, pendahulu liga, Manchester City tidak akan
beraksi minggu ini dan sebaliknya akan berentap menentang Arsenal di laman
lawannya itu pada awal pagi Jumaat depan.
Spurs pula akan berkunjung ke laman Crystal Palace dan
seandainya menang bakal memintas Chelsea di tangga keempat untuk
sekurang-kurangnya selama dua jam. Selamat menonton.
Ramalan Minggu ke-28
Leicester City 2 Stoke City 1
Bournemouth 1 Newcastle 3
Brighton 0 Swansea 2
Burnley 1 Southampton 1
Liverpool 3 West Ham 1
West Brom 1 Huddersfield 1
Watford 1 Everton 2
Crystal Palace 1 Tottenham 3
Manchester United 1 Chelsea 1
* Penulis adalah Penolong Editor Sukan Kumpulan NSTP

Comments
Post a Comment