LONDON: Antonio Conte dan Jose Mourinho tidak lagi ‘berperang
mulut’ menjelang pertemuan hangat membabitkan Manchester United dan Chelsea di
Old Trafford.
Pengurus Blues Conte beberapa kali bertelagah dengan pengendali
United Mourinho sejak tiba di Stamford Bridge pada 2016.
Perselisihan itu bertambah buruk musim ini apabila pengurus
United itu berkata beliau tidak perlu ‘berkelakuan seperti badut’ di tepi
padang, komen yang dianggap ditujukan kepada Conte yang membalasnya dengan
mendakwa Mourinho mungkin sudah ‘nyanyuk’.
Apabila Mourinho kemudiannya mengaitkan Conte yang pernah
digantung kerana mengatur perlawanan, jurulatih kelahiran Itali itu
menafikannya dan mengakui dirinya tidak bersalah, malah menyifatkan rakan
sejawatnya itu seorang yang ‘palsu’ dan ‘lelaki kerdil’.
Pertelagahan baru-baru ini mencapai kemuncak apabila
kedua-duanya mengakui saling ‘membenci’ antara satu sama lain.
Namun Conte tidak mahu melayan sebarang soalan mengenai
hubungannya dengan bekas jurulatih Chelsea itu ketika sidang media pasukan
menjelang perlawanan malam esok.
“Kami saling bercakap perkara buruk sebelum ini. Bagi saya ia
OK,” kata Conte. “Saya tidak berminat bercakap mengenai topik ini.”
Mourinho juga mahu terus melupakan pertelagahan itu.
“Saya tidak mahu bercakap mengenainya. Saya beritahu anda
sebelum ini, saya tidak akan bercakap mengenainya. Tidak sama sekali,” kata
Mourinho
“Itu bukan soalnya. Apa yang penting bagi saya adalah pengurus
yang bagus dan pasukan yang hebat. Itu saja.”
United
kini di tangga kedua, tiga mata dan dua anak tangga mengatasi Blues dan Conte
yakin saingan semakin sengit untuk tiket ke Liga Juara-Juara.

Comments
Post a Comment