Skip to main content

Pertembungan United, Chelsea beri manfaat kepada Reds



JURGEN KLOPP berpeluang melonjakkan pasukannya ke tangga kedua Liga Perdana apabila Liverpool bertemu West Ham hari ini


LONDON 23 Feb. – Semua mata bakal tertumpu ke tempat duduk pemain apabila Manchester United dan Chelsea bertembung dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini selepas perang mulut antara Jose Mourinho serta Antonio Conte meletus, dengan Liverpool berpeluang memanfaatkan kesempatan tersebut.
Dengan salah satu atau kedua-dua pasukan bakal keciciran mata di Old Trafford, skuad bimbingan Jurgen Klopp dilihat berpeluang memanfaatkan situasi itu apabila mereka menanti kunjungan West Ham selepas 10 hari berehat.
Liverpool juga masih segar dengan kejayaan membelasah Porto 5-0 dalam aksi timbal balik pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara.
Conte serta Mourinho berbalas kritikan musim ini, dan kemuncak kepada persengketaan kedua-dua pengurus tersebut apabila mereka mengakui saling membenci antara satu sama lain.
Perbalahan tersebut meletus apabila bos United berkata, dia tidak perlu berkelakuan seperti badut ketika berada di tepi padang, yang mana komen berkenaan seolah-olah ditujukan kepada Conte yang kemudiannya membalas dengan menyatakan Mourinho seorang yang nyanyuk.
Apabila Mourinho cuba mengaitkan Conte dengan kes mengatur perlawanan sehingga menyebabkan dia digantung ketika di Itali, yang kemudiannya pengurus Chelsea itu didapati tidak bersalah, membalas dengan menuduh pesaingnya itu sebagai seorang yang suka berpura-pura dan pengecut.
United yang sebelum ini selesa di kedudukan kedua dalam carta Liga Perdana, walaupun keciciran jauh di belakang Manchester City, tetapi dua kekalahan dalam tiga perlawanan menyebabkan skuad bimbingan Mourinho kelihatan goyah.
Red Devils juga perlu berdepan empat pasukan daripada kelompok enam terbaik dalam perlawanan akan datang termasuk Chelsea yang menghuni tempat keempat Ahad ini.
Skuad bimbingan Klopp berpeluang memintas Manchester United sekurang-kurangnya untuk seketika, apabila mereka menerima kunjungan West Ham esok.
Kelab itu kini berada dalam prestasi terbaik selepas membenam Porto dan memiliki peluang lebih cerah mengisi slot ke pertandingan peringkat Eropah itu pada tahun depan dengan jadual perlawanan Liga Perdana yang berpihak kepada Liverpool.
“Untuk membentuk sebuah skuad ketika ini amat sukar. Wow! saya sendiri tidak pernah berada dalam situasi yang mana pemain-pemain berkualiti tidak ada dalam pasukan kami. Memang sukar, tetapi sudah tentu keadaan ini sebenarnya bagus untuk kami,” kata Klopp kepada rangkaian televisyen kelab LFCTV.
Selepas pertemuan dengan West Ham, Liverpool hanya memiliki baki 10 perlawanan liga, dan dengan pengecualian perlawanan Manchester United serta Chelsea, kesemua pasukan yang bakal dihadapi Reds membabitkan kelab yang berada di tempat kesembilan ataupun lebih rendah. – AFP

Comments