Skip to main content

Willian yakin mampu gegar Barca



AKSI pemain tengah Chelsea, Willian (kiri) dikekang pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta pada saingan Liga Juara-Juara di Stadium Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto Reuters

LONDON: Pemain sayap Chelsea, Willian yakin skuad kendalian Antonio Conte itu mampu melakar kejutan di Barcelona selepas hampir berjaya mengekang bintang Argentina Lionel Messi dalam aksi Liga Juara-Juara di Stamford Bridge.
Sembilan tahun selepas aksi separuh akhir penuh kontroversi membabitkan kedua-dua kelab, Andres Iniesta dan Messi sekali lagi bergandingan untuk memastikan kelab Catalan itu menamatkan perlawanan pertama pusingan 16 terakhir dengan keputusan seri 1-1.

GAYA pemain tengah Chelsea, Willian selepas menjaringkan gol ketika menentang Barcelona di Stadium Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Kali ini, Iniesta pula melakukan hantaran ke atas Messi untuk gol pertamanya selepas sembilan percubaan ke atas Chelsea apabila memanfaatkan kesilapan bek tengah  Andreas Christensen,21.

Namun ia tidak seteruk kesan ketika Iniesta meledak gol menerusi bantuan Messi pada 2009 dalam perlawanan yang menyaksikan rayuan penalti skuad tuan rumah tidak dilayan pengadil Norway Tom Henning Ovrebo.
Conte bagaimanapun berkata pasukannya perlu melakukan sesuatu yang menakjubkan di Catalonia dalam tempoh tiga minggu.
Willian membayangkan menerusi persembahan Chelsea di Stamford Bridge, mereka mampu melakukan kejutan pada perlawanan kedua.
"Ia perlawanan yang sukar dan kami bermain dengan baik," kata Willian.
"Kami perlu terus memantapkan permainan, kami mempunyai perancangan dan berjaya melakukan seperti yang dirancang.
"Mereka menguasai bola dan kami dijangka melakukan serangan balas, kami mampu memenangi perlawanan ini. Namun kami gagal melaksanakannya dan peluang masih terbuka jadi kami perlu ke sana untuk menang.
"Barcelona menunjukkan penguasaan tetapi mereka tidak melakukan lebih banyak percubaan berbahaya untuk menjaringkan gol. Kami boleh berkunjung ke sana dan memanfaatkan kelebihan itu." - AFP

Comments