MESSI diraikan
penyokong Barca. FOTO/AFP
BARCELONA: Barcelona melabel Lionel Messi sebagai 'Raja' ketika
pemain bintang itu menghadiahkan hukuman cukup memeritkan buat Chelsea dengan
meledak dua gol untuk memberi gergasi Catalan itu kemenangan 3-0 dan mara ke
suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Dua gol yang dijaringkan Messi juga menyaksikan pemain kelahiran
Argentina itu kini sudah mengumpul 100 gol di pentas Liga Juara-Juara dan
membawa kelabnya ke peringkat lapan terbaik menerusi agregat 4-1.
Selepas terikat 1-1 pada aksi pertama di London, bulan lalu,
kain rentang dengan tulisan 'Tuhan Selamatkan Raja' dikibarkan peminat Barca
dan mereka tidak perlu menunggu lama untuk bergembira.
PEMAIN Chelsea hampa selepas tewas kepada Barca. FOTO/AFP
Gol yang dicari tuan rumah muncul selepas 129 saat permainan
bermula di Nou Camp menerusi Messi dengan pemain-pemain Chelsea ketika itu
belum sempat untuk melakukan hantaran.
Dia kemudian bergandingan dengan Ousmane Dembele bagi menggandakan
kelebihan Barca bagi aksi kedua peringkat 16 terakhir itu sebelum meledak gol
ke-100 dalam penampilan ke-123 dalam saingan elit Eropah itu pada minit ke-63.
Messi menjadi pemain kedua berjaya meraih status berkenaan dalam
kancah Liga Juara-Juara mengikuti langkah bintang Real Madrid, Cristiano
Ronaldo yang kini sudah mengumpul 117 gol dalam 152 permainan.
MESSI ledak dua gol bantu Barca tewaskan Chelsea. FOTO/AFP
Kemenangan melengkapkan lima hari penuh gembira buat pemain
berusia 30 tahun itu yang pada minggu lalu terpaksa diketepikan Barca bagi aksi
menentang Malaga dalam kempen La Liga bagi menunggu kelahiran anak ketiganya.
Dengan kekalahan Manchester United kepada Sevilla dan Tottenham
dikecewakan oleh Juventus, penyingkiran Chelsea bermakna England kini hanya
mempunyai dua wakil iaitu Liverpool dan Manchester City. - AFP



Comments
Post a Comment