Skip to main content

Chelsea lebih tertekan - Puel




PUEL (kiri) percaya skuad kendalian Conte lebih tekanan untuk memenangi aksi suku akhir Piala FA. -Foto Reuters





LONDON: Bos Leicester, Claude Puel percaya Chelsea lebih tertekan berbanding skuad kendaliannya menjelang pertarungan suku akhir Piala FA, awal pagi Isnin ini.






Selepas tersingkir dalam saingan Liga Juara-Juara kepada Barcelona, minggu ini, Piala FA menjadi satu-satunya trofi yang secara realistik berpeluang dijulang skuad kendalian Antonio Conte.






Kali terakhir Leicester berada di suku akhir Piala FA pada 2012 tetapi mereka disingkirkan Chelsea yang menjadi juara ketika itu tetapi Puel merumuskan perlawanan kali ini tidak memberi tekanan kepada skuad kendaliannya.





"Benar, tekanan kepada Chelsea," kata Puel. "Ia adalah peluang terakhir untuk mereka memenangi trofi pada musim ini.




"Saya fikir ia perlawanan yang biasa untuk kami. Pemain menunggu perlawanan seperti ini dengan keinginan dan tanpa tekanan kerana pasukan ini (Chelsea) adalah pilihan.






"Tetapi, kami juga pasukan yang baik dan kami boleh memberikan mereka masalah. Kami perlu menunjukkan usaha secara berkumpulan menentang mereka. Ia perlawanan yang besar untuk peminat, skuad dan kelab."






Puel berkata, dia tidak melihat pertembungan dengan Chelsea sebagai perlawanan terbesar untuk pasukannya musim ini.






"Sudah pasti semua perlawanan yang kami harungi adalah besar. Ia perlawanan penentuan, lebih penting, saya tidak tahu. Ia adalah peluang yang baik di laman kami sendiri, peluang untuk berada di separuh akhir.






"Bagi Chelsea, ia juga sama, peluang terakhir untuk mereka memenangi sesuatu musim ini. Ia cabaran yang besar dan menarik untuk bermain menentang pasukan besar di stadium dan di depan penyokong kami." - AGENSI

Comments