CHELSEA mempunyai peluang meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini apabila mereka bakal berdepan Leicester pada aksi suku akhir Piala FA awal pagi esok.
Bekas juara Liga Perdana England musim lalu itu tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara musim ini selepas tewas kepada Barcelona Rabu lalu.
Chelsea yang menduduki tangga kelima liga ketika ini ketinggalan empat mata di belakang Liverpool dan bakal berdepan Leicester City pada aksi suku akhir Piala FA awal pagi esok.
Menurut Conte, misi mereka ketika ini adalah untuk mendapatkan dua sasaran tersebut.
“Saya fikir kesemua trofi amat penting buat kami. Kami memulakan musim dengan meletakkan sasaran untuk berjuang dalam semua kejohanan yang disertai.
“Pada aksi Piala Liga England, kami berjaya mara ke separuh akhir, ke pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara dan berada di saingan suku akhir untuk Piala FA. Jika kami menang menentang Leicester, kami akan sekali lagi beraksi di Wembley.
“Kami sentiasa mahu mencuba yang terbaik dalam semua kejohanan ini. Ini adalah sasaran utama kami,” katanya.
Ketika ditanya sama ada fokus Chelsea kini untuk memburu kedudukan kelompok empat pasukan terbaik atau menjulang Piala FA, Conte mengakui bahawa kedua-duanya ada dalam perancangan pasukan.
“Kami akan cuba melakukan kedua-duanya sekali. Untuk mara ke pusingan berikutnya, beraksi di separuh akhir Piala FA bukan suatu yang mudah.
“Leicester ialah pasukan yang baik. Ketika aksi terakhir menentang mereka di Stamford Bridge, kami agak tertekan.
“Memburu tempat ke Liga Juara-Juara juga menjadi misi penting tetapi bukan mudah untuk bersaing mendapatkannya,” jelasnya.
– Agensi
Comments
Post a Comment