LONDON: Persembahan menakjubkan Tottenham Hotspur ketika bertemu
lawan lebih ternama musim ini memberi sinar buat pasukan itu untuk meraih
kemenangan ke atas Chelsea Ahad ini, menurut pemain sayap Lucas Moura.
Tottenham tidak pernah menewaskan Chelsea dalam aksi Liga
Perdana Inggeris di Stamford Bridge sejak 1990 yang menyaksikan Gary Lineker
menyumbat gol kemenangan 2-1.
Anak buah Mauricio Pochettino mahu menamatkan rekod buruk ke
atas jiran tetangganya itu dan Lucas percaya kemenangan ke atas seteru lain
serta aksi memberangsangkan ketika bertemu Juventus di Liga Juara-Juara
meningkatkan lagi keyakinan mereka.
“Kami beraksi begitu baik tahun ini. Kami memperagakan
persembahan hebat ketika bertemu Manchester United, Arsenal dan Juventus.
“Saya begitu yakin kami akan dapat meneruskan prestasi ini
ketika bertemu Chelsea,” kata Moura menerusi laman web pasukan itu.
“Ini perlawanan besar dan saya tidak sabar menantikannya. Saya
begitu teruja dan berharap saya diberi peluang untuk beraksi kerana saya
percaya kami mampu menang.”
Pemain sayap Brazil itu menyertai Spurs dari kelab Perancis,
Paris St-Germain pada jendela perpindahan Januari lalu dengan bayaran sekitar
£25 juta (RM130 juta).
Pemain berusia 25 tahun itu tampil enam kali bersama pasukan
baharunya setakat ini dan mencetak satu gol serta tiga hantaran gol.
Aksi bertemu Chelsea mungkin menjadi cabaran terbesarnya setakat
ini dan dia mahu mencipta sesuatu pada perlawanan itu.
“Saya
sentiasa menantikan aksi sebegini. Liga Perdana Inggeris adalah liga terbaik di
dunia dan saya gembira berada di sini.”

Comments
Post a Comment