MOURA yakin dengan
kemampuan Spurs untuk menewaskan Chelsea. -Foto Agensi
LONDON: Persembahan menakjubkan Tottenham Hotspur ketika bertemu
lawan lebih ternama musim ini memberi sinar buat pasukan itu untuk meraih
kemenangan ke atas Chelsea Ahad ini, menurut pemain sayap Lucas Moura.
Tottenham tidak pernah menewaskan Chelsea dalam aksi Liga
Perdana Inggeris di Stamford Bridge sejak 1990 yang menyaksikan Gary Lineker
menyumbat gol kemenangan 2-1.
Anak buah Mauricio
Pochettino mahu menamatkan rekod buruk ke atas jiran tetangganya itu dan Lucas
percaya kemenangan ke atas seteru lain serta aksi memberangsangkan ketika
bertemu Juventus di Liga Juara-Juara meningkatkan lagi keyakinan mereka.
"Kami beraksi begitu
baik tahun ini. Kami memperagakan persembahan hebat ketika bertemu Manchester
United, Arsenal dan Juventus.
"Saya begitu yakin
kami akan dapat meneruskan prestasi ini ketika bertemu Chelsea," kata
Moura menerusi laman web pasukan itu.
"Ini perlawanan besar
dan saya tidak sabar menantikannya. Saya begitu teruja dan berharap saya diberi
peluang untuk beraksi kerana saya percaya kami mampu menang."
Pemain sayap Brazil itu
menyertai Spurs dari kelab Perancis, Paris St-Germain pada jendela perpindahan
Januari lalu dengan bayaran sekitar STG25 juta (RM130 juta).
Pemain berusia 25 tahun itu
tampil enam kali bersama pasukan baharunya setakat ini dan mencetak satu gol
serta tiga hantaran gol.
Aksi bertemu Chelsea
mungkin menjadi cabaran terbesarnya setakat ini dan dia mahu mencipta sesuatu
pada perlawanan itu.
"Saya sentiasa
menantikan aksi sebegini. Liga Perdana Inggeris adalah liga terbaik di dunia
dan saya gembira berada di sini." - Reuters

Comments
Post a Comment