
POCHETTINO tidak kisah dengan rekod baik Chelsea. FOTO/AFP
LONDON: Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino tidak kisah dengan deretan kejayaan yang pernah diraih Chelsea tatkala fokusnya tertumpu untuk menang ketika kedua-dua seteru London itu bertemu di Stamford Bridge, esok.
Pertembungan Tottenham dan Chelsea sentiasa berlangsung panas tetapi skuad kendalian Pochettino tampak lebih bertenaga pada musim ini apabila menghuni tangga keempat liga dan mempunyai kelebihan lima mata ke atas The Blues.
Musim lalu, skuad kendalian Antonio Conte yang berada di tangga kelima jelas pasukan lebih bagus apabila menjuarai Liga Perdana Inggeris serta menewaskan Spurs 4-2 di separuh akhir Piala FA tetapi bagi Pochettino ia perkara yang sudah berlalu.
"Sejarah adalah sejarah dan ia tidak akan membantu. Ia langsung tidak dikira," kata Pochettino dengan skuad kendaliannya ketika ini sudah mengharungi 12 perlawanan liga tanpa tewas sejak Disember lalu.
"Saya tidak fikir ia sesuatu yang kami perlu fokuskan. Kami perlu fokus untuk meraih kemenangan dan juga prestasi."
Sementara itu, Pochettino mengakui kagum dengan proses pemulihan Harry Kane tetapi memberi bayangan adalah terlalu awal untuk menyenaraikan penyerang berbisa itu bertemu Chelsea.
Penyerang kebangsaan England itu dijangka akan diketepikan sehingga April berikutan kecederaan ligamen buku lali yang diperolehnya ketika aksi menentang Bournemouth, tiga minggu lalu.
"Apa yang paling utama ialah kami semua amat positif mengenai proses pemulihannya. Ia menakjubkan dan kami semua gembira," kata Pochettino.
"Selepas Bournemouth semua orang percaya ia akan mengambil masa yang lama tetapi keputusannya menakjubkan." - AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd
Comments
Post a Comment