LONDON: Antonio Conte berkata Chelsea bukan pasukan pilihan
ketika bertemu Manchester United dan seteru lamanya, Jose Mourinho di final
Piala FA.
Skuad kendalian Conte mara susulan kemenangan 2-0 ke atas
Southampton pada aksi separuh akhir, awal pagi tadi sekali gus menempah
pertembungan menarik dengan United di Wembley pada 19 Mei ini.
Tetapi Conte tidak percaya Chelsea yang tewas 1-2 oleh Arsenal
dan tiba selaku penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) pada final tahun
lalu akan diletakkan sebagai pilihan untuk menjulang trofi penuh berprestij
itu.
“Final kali ini adalah perlawanan membabitkan dua pasukan yang
hebat. Dalam minda saya, saya boleh memberitahu kamu yang (musim lalu) kami
bermain sebagai pasukan pilihan menentang Arsenal,” kata Conte.
“Tetapi saya fikir pada musim ini kami hadir sebagai pasukan
bukan pilihan. Pada musim lalu, kami tewas di final sekali pun dijangka akan
menang.”
Berdasarkan pergeseran membabitkan kedua-dua pengurus itu pada
musim ini, tumpuan dijangka akan lebih terarah kepada mereka berbanding pemain
ketika perlawanan itu nanti.
Conte sebelum ini melabel Mourinho sebagai ‘lelaki kecil’ yang
mempunyai penyakit mental selepas pengurus United itu menggelarkan dirinya
‘badut’ berikutan sikapnya yang penuh bersemangat di tepi padang.
Mourinho juga turut mengaitkan Conte dengan skandal mengatur
perlawanan ketika pengurus dari Itali itu sudah pun dibebaskan daripada
sebarang pertuduhan yang mengaitkannya dengan isu berkenaan.
Awal minggu ini, Conte turut cuba menaikkan amarah Mourinho
dengan menegaskan pengurus dari Portugal itu mengharungi tugasan lebih mudah di
Chelsea berbanding dirinya.
Tetapi
selepas kemenangan ke atas Southampton, Conte mendakwa dia tidak memiliki
sebarang masalah dengan Mourinho.

Comments
Post a Comment