Skip to main content

Chelsea hilang ramuan ledak lebih banyak gol

PEMAIN tengah Chelsea, Cesc Fabregas (kanan) meraikan jaringannya

PEMAIN tengah Chelsea, Cesc Fabregas (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menentang Swansea dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium The Liberty, Swansea semalam. Chelsea menang 1-0. AFP
SWANSEA 29 April – Antonio Conte mungkin telah menghidupkan semula peluang Chelsea untuk layak ke Liga Juara-juara, namun dia mengakui ada sesuatu yang hilang daripada pasukannya iaitu gol.
Pengurus Blues itu mencapai kemenangan ke-50 dalam Liga Perdana Inggeris selepas pasukannya menundukkan Swansea 1-0 di laman lawan, terima kasih kepada gol ke-50 Cesc Fabregas dalam liga, tetapi Conte masih tidak berpuas hati dengan pencapaian kelab London tersebut yang melakar kejayaan buat kali keempat berturut-turut dalam semua pertandingan.
Kemenangan di selatan Wales itu menyaksikan pasukan di tempat kelima itu kini hanya berada dua mata di belakang Tottenham Hotspur. Spurs hanya akan turun menentang Watford pada Selasa ini.
Eden Hazard, yang menjadi perancang kepada jaringan Fabregas pada minit keempat permainan, merupakan penjaring terbanyak Chelsea musim ini dengan 12 gol.
“Penjaring terbanyak kami hanya meledakkan 12 gol, dan jika penjaring terbaik anda hanya menyumbat 12 gol, ini bermakna memang sukar untuk bersaing bagi mendapatkan sesuatu musim ini.
“Inilah realitinya, statistik sudah cukup menjelaskan keadaan sebenar. Saya rasa dalam perlawanan hari ini, kami boleh beraksi dengan lebih klinikal, tetapi sebaliknya hanya memastikan pertemuan tersebut berlangsung seimbang.
“Perkara yang sama berlaku ketika menentang West Ham. Kami mendominasi dan mencipta begitu banyak peluang tetapi hanya mampu menjaringkan satu gol.
“Berlaku sekali lagi hari ini. Saya rasa musim ini kami tidak cukup klinikal dan pada penghujung musim kami melakar kemenangan, tetapi kami sepatutnya mempamerkan aksi yang lebih bertenaga untuk membunuh terus perlawanan itu, tetapi sebaliknya kami tidak berbuat demikian,” kata pengurus warga Itali itu.
Chelsea mengharapkan agar Spurs tewas ataupun Liverpool tersingkir daripada kempen Liga Juara-juara dan terus melepaskan mata dalam aksi Liga Perdana.
Sementara itu, Crystal Palace menghampiri zon selamat selepas menang 5-0 ke atas Leicester yang menamatkan permainan dengan 10 pemain.
Palace, yang sebelum ini hampir pasti tersingkir ke divisyen dua selepas kalah dalam tujuh perlawanan pertamanya tanpa menjaringkan gol, melonjak ke tempat ke-11 dan berada enam mata di atas tiga pasukan ter­corot, dengan hanya Southampton yang mampu mengejar mereka. – AFP

Comments