OLIVIER GIROUD meraikan jaringannya ketika
Chelsea menang 2-0 ke atas Souhampton dalam aksi separuh akhir Piala FA,
sebentar tadi
LONDON 23 April - Jaringan solo Olivier Giroud
membantu Chelsea menundukkan Southampton 2-0 untuk sekali gus membolehkan The
Blues menempah aksi final Piala FA menentang Manchester United.
Giroud yang berada dalam kesebelasan utama di
Stadium Wembley meletakkan The Blues di hadapan sejurus babak kedua bermula
selepas melakukan gerakan cantik.
Alvaro Morata yang kemudiannya dimasukkan bagi
menggantikan pemain Perancis itu ketika perlawanan berbaki 10 minit, turut
meletakkan namanya selaku penjaring dalam perlawanan itu.
Chelsea akan berdepan skuad kendalian Jose
Mourinho dalam aksi final pada 19 Mei ini selepas mereka menang 2-1 ke atas
Tottenham, semalam.
Skuad kendalian Antonio Conte mendominasi
keseluruhan permainan dan Eden Hazard hampir membuka tirai jaringan pada awal
permainan namun percubaan bintang Belgium itu tidak menepati sasaran.
Hazard kemudian mengetuai serangan balas
beberapa minit kemudian dan menghantar bola kepada Willian namun percubaannya
terkena palang selepas penjaga gol The Saints, Alex McCarthy sudah pun
tertewas.
Giroud yang menampilkan aksi kurang cemerlang
sejak berpindah ke Chelsea sebelum ini sudah menjaringkan dua gol ketika
menentang Southampton, minggu lalu dan kini berada di tahap tebaik untuk
beraksi termasuk melakukan percubaan voli pada separuh masa pertama, namun
tersasar.
Pada separuh masa kedua, Giroud membuktikan
kecemerlangannya dengan menjaringkan gol menerusi gerakan menarik yang berjaya
menewaskan tiga pertahanan Southampton sebelum mengelirukan McCarthy untuk
menjaringkan gol pertama Chelsea dalam perlawanan itu.
Skuad kendalian Mark Hughes kemudiannya meraih
peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan namun tindakan Shane Long yang cuba
memperdayakan penjaga gol, Willy Caballero tidak berjaya.
Pada minit ke-82, Morata menanduk masuk hantaran
silang untuk sekali lagi mengatasi McCarthy bagi memastikan kejayaan The
Blues.-AGENSI

Comments
Post a Comment