Skip to main content

Conte bersimpati dengan Mourinho



JOSE MOURINHO menjadi mangsa kritikan selepas dia didakwa melepaskan Mohamed Salah semasa mengendalikan Chelsea sebelum ini.

LONDON 28 April - Antonio Conte menzahirkan perasaan simpatinya terhadap Jose Mourinho yang dikritik hebat selepas Chelsea memutuskan untuk menjual Mohamed Salah semasa di bersama kelab London itu.

Salah berdepan kesukaran selama 18 bulan bersama Chelsea di bawah kendalian Mourinho dan kemudiannya dipinjamkan ke Fiorentina sebelum dijual kepada Roma.

Bintang Mesir itu kemudiannya berjaya meningkatkan semula keyakinannya dan membina reputasi positif di Serie A sebelum kembali ke Liga Perdana Inggeris dengan menyertai Liverpool pada hara 38 juta pound (RM205.16 juta).

Salah menampilkan aksi memukau sejak berpindah ke Anfield dengan meledak 43 gol sepanjang musim ini dan dianugerahkan Pemain Terbaik PFA tahun ini.

Mourinho menjadi mangsa kecaman selepas tindakannya melepaskan Salah dan Kevin De Bruyne semasa musim keduanya di Chelsea tetapi mendakwa ia adalah keputusan kelab untuk melepaskan dua bintang prolifik itu dan jelas sekali Conte bersimpati dengan pengendali Portugal itu.

“Ini bukan perkara mudah kerana kita tidak boleh membandingkan Salah sekarang dengan Salah empat atau lima tahun lalu.

“Salah sekarang ini sudah banyak membangun dan berada di prestasi terbaik. Dia menunjukkan peningkatan ketara dan pengalamannya di Itali banyak membantu.

“Saya pasti sekarang ini dia adalah pemain yang berbeza berbanding sebelum ini dan atas dasar ini sangat sukar untuk membuat perbandingan,” kata Conte.-AGENSI

Comments