REAKSI Olivier Giroud
selepas menjaringkan gol ketika menentang Southampton di Stadium Wembley,
sebentar tadi. - Foto AFP
LONDON: Kelicikan Olivier
Giroud serta tandukan pemain gantian, Alvaro Morata membolehkan Chelsea menang
2-0 ke atas Southampton di Wembley, sebentar tadi sekali gus melangkah ke final
Piala FA menentang Manchester United bulan depan.
Giroud bertindak cemerlang
menggelecek tiga pertahanan lawan sebelum memperdaya penjaga gol, Alex McCarthy
pada awal babak kedua permainan untuk menghasilkan gol pertama hasil hantaran
Eden Hazard.
"Saya seronok bermain
di sini (Wembley) dan saya tidak pernah dikalahkan di sini. Justeru, saya harap
ia akan berterusan hingga final nanti," kata Giroud. Dia menyarung jersi
Arsenal ketika mengalahkan Chelsea di final tahun lalu.
Morata yang masuk
menggantikan Giroud menggandakan kelebihan Chelsea pada minit ke-82 apabila
menanduk masuk hantaran lintang Cesar Azpilicueta.
Southampton tidak langsung
mengancam pada sebahagian besar perlawanan tetapi bertahan dengan baik di
sepanjang babak pertama walaupun cubaan penyerang Chelsea singgah di palang
mereka.
Saints terpaksa
meninggalkan kawasan mereka selepas jaringan Giroud dan hampir menyamakan
kedudukan pada minit ke-72 tetapi penjaga gol Chelsea, Willy Caballero berjaya
menepis cubaan Nathan Redmond.
Satu jaringan Southampton
dibatalkan pengadil apabila Charlie Austin didakwa mengasari penjaga gol.
Cubaan Austin pada hujung perlawanan pula singgah di tiang.
Chelsea akan bertemu skuad
kendalian Jose Mourinho di Wembley pada 19 Mei selepas Manchester United
mengalahkan Tottenham Hotspur 2-1, semalam.
Pertembungan itu akan
menambah ketegangan antara bekas pengurus Chelsea, Mourinho dengan pengendali
semasa, Antonio Conte.
Hazard yang pernah beraksi
di bawah kedua-dua jurulatih itu berkata: "Kami sudah memberikan
segala-galanya. Kami bermain baik terutamanya di babak kedua dan mengawal
perlawanan.
"Kini kami sudah ke
final dan kami akan fikirkan apa yang perlu kami lakukan nanti."
Chelsea menduduki tangga
kelima Liga Perdana tetapi Hazard berkata, mereka tidak pernah berputus asa dan
akan terus berusaha menempatkan diri ke dalam kelompok empat teratas bagi
melayakkan diri secara automatik ke Liga Juara-Juara dan pada mas sama, mahu
menjulang Piala FA. - Reuters

Comments
Post a Comment