Skip to main content

Peluang Chelsea duduki kelompok empat teratas

OLIVER GIROUD (kanan) dihalang pemain Burnley, James Tarkowski

OLIVER GIROUD (kanan) dihalang pemain Burnley, James Tarkowski dalam aksi LIga Perdana Inggeris di Turf Moor, Burnley, England, semalam. AP
BURNLEY 20 April – Chelsea menghidupkan peluang mereka untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kelompok empat pasukan terbaik apabila jaringan lewat permainan Victor Moses membantu The Blues menewaskan Burnley 2-1 di Turf Moor.
Chelsea mengumpul 63 mata berada di tangga kelima ketinggalan lima mata dengan Tottenham Hotspur yang berada pada kedudukan keempat liga dan dengan berbaki empat perlawanan sahaja lagi, The Blues perlu mengutip mata maksimum sambil mengharapkan kekalahan menimpa skuad kendalian Mauricio Pochettino.
“Tugas sukar menanti kami sebab kami ketinggalan lima mata dengan Tottenham dan sebelum ini kami melepaskan peluang terbaik untuk merapatkan kedudukan dengan mereka.
“Sekarang kami perlu mendapatkan tiga mata untuk setiap perlawanan hingga aksi terakhir liga di mana kami akan menentang pasukan yang mahu mengelak daripada memasuki ke dalam zon penyingkiran. Bagaimanapun kami akan berusaha dan hari ini saya lihat pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi.
“Bukan mudah untuk kami menentang Burnley. Penye­rang kami, (Oliver) Giroud dan (Alvaro) Morata bermain de­ngan baik dan mereka memiliki kombinasi yang baik,” kata Conte.
Chelsea memperoleh gol pertama hasil jaringan sendiri Burnley. Ashley Barnes menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-64 sebelum Moses memastikan The Blues membawa pulang tiga mata selang lima minit kemudian.
Selepas ini, Chelsea akan menghadapi Southampton dalam aksi separuh akhir Piala FA. – REUTERS

Comments