MAURIZIO SARRI menjadi pilihan
alternatif Chelsea untuk menggantikan Antonio Conte pada musim panas ini
sekiranya mereka gagal mendapatkan Luis Enrique pada penghujung musim ini.
LONDON 28 April - Pengendali Napoli, Maurizio
Sarri merupakan salah seorang daripada dua nama yang disenarai pendek bagi
menggantikan Antonio Conte di Chelsea pada musim panas ini.
The Blues dijangka memecat Conte pada penghujung
musim ini selepas mengalami musim buruk tahun ini termasuk gagal mempertahankan
kejuaraan Liga Perdana Inggeris selain tersingkir daripada saingan Liga
Juara-Juara di peringkat kalah mati dan berkemungkinan gagal menamatkan saingan
liga dalam kelompok empat pasukan teratas
Chelsea sudah memulakan proses mencari pengganti
Conte dan Luis Enrique dilihat sebagai pilihan utama selepas mengadakan
perbincangan bersama kelab London itu.
Bagaimanapun, siaran televisyen Itali, Rai Sport
melaporkan, Sarri masih lagi diberikan pertimbangan sebagai alternatif kepada
Enrique terutama jika dia berjaya menundukkan Juventus.
Sarri memiliki klausa kontrak bernilai 7 juta
pound (RM37.79 juta) bersama Napoli dan sedang mempertimbangkan untuk berhijrah
sekiranya Chelsea mahu mendapatkan khidmatnya.
Pada masa sama, ejen Sarri dilihat berada di
London dan berkemungkinan sudah mengadakan perbincangan bersama Chelsea.
Walaupun Enrique menjadi pilihan utama bagi
menggantikan Conte namun permintaan kontrak pengendali Sepanyol itu dilihat
menyukarkan proses rundingan.-AGENSI

Comments
Post a Comment