LONDON: Kelicikan Olivier Giroud serta tandukan pemain gantian,
Alvaro Morata membolehkan Chelsea menang 2-0 ke atas Southampton di Wembley,
sebentar tadi sekali gus melangkah ke final Piala FA menentang Manchester
United bulan depan.
Giroud bertindak cemerlang menggelecek tiga pertahanan lawan
sebelum memperdaya penjaga gol, Alex McCarthy pada awal babak kedua permainan
untuk menghasilkan gol pertama hasil hantaran Eden Hazard.
“Saya seronok bermain di sini (Wembley) dan saya tidak pernah
dikalahkan di sini. Justeru, saya harap ia akan berterusan hingga final nanti,”
kata Giroud. Dia menyarung jersi Arsenal ketika mengalahkan Chelsea di final
tahun lalu.
Morata yang masuk menggantikan Giroud menggandakan kelebihan
Chelsea pada minit ke-82 apabila menanduk masuk hantaran lintang Cesar
Azpilicueta.
Southampton tidak langsung mengancam pada sebahagian besar
perlawanan tetapi bertahan dengan baik di sepanjang babak pertama walaupun
cubaan penyerang Chelsea singgah di palang mereka.
Saints terpaksa meninggalkan kawasan mereka selepas jaringan
Giroud dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-72 tetapi penjaga gol
Chelsea, Willy Caballero berjaya menepis cubaan Nathan Redmond.
Satu jaringan Southampton dibatalkan pengadil apabila Charlie
Austin didakwa mengasari penjaga gol. Cubaan Austin pada hujung perlawanan pula
singgah di tiang.
Chelsea akan bertemu skuad kendalian Jose Mourinho di Wembley
pada 19 Mei selepas Manchester United mengalahkan Tottenham Hotspur 2-1,
semalam.
Pertembungan itu akan menambah ketegangan antara bekas pengurus
Chelsea, Mourinho dengan pengendali semasa, Antonio Conte.
Hazard yang pernah beraksi di bawah kedua-dua jurulatih itu
berkata: “Kami sudah memberikan segala-galanya. Kami bermain baik terutamanya
di babak kedua dan mengawal perlawanan.
“Kini kami sudah ke final dan kami akan fikirkan apa yang perlu
kami lakukan nanti.”
Chelsea
menduduki tangga kelima Liga Perdana tetapi Hazard berkata, mereka tidak pernah
berputus asa dan akan terus berusaha menempatkan diri ke dalam kelompok empat
teratas bagi melayakkan diri secara automatik ke Liga Juara-Juara dan pada mas
sama, mahu menjulang Piala FA.

Comments
Post a Comment