Skip to main content

Hazard harapan Conte untuk pulih maruah

EDEN HAZARD menjadi pertaruhan utama Chelsea dalam perlawanan

EDEN HAZARD menjadi pertaruhan utama Chelsea dalam perlawanan akhir Piala FA di Wembley, London hari ini meskipun prestasinya tidak sehebat seperti pada musim lalu.

LONDON 18 Mei – Antonio Conte, yang berada dalam situasi sukar untuk menamatkan musim ini dengan catatan baik, terpaksa bergantung harap kepada Eden Hazard untuk menyelamatkan maruahnya dalam perlawanan akhir Piala Fa menentang Manchester United esok.
Selepas menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan sekadar menghuni tempat kelima, sekali gus terlepas slot automatik ke Liga Juara-juara musim depan, menjulang Piala FA dilihat sebagai peluang untuk Chelsea menamatkan musim ini dengan lebih bermaruah.
Dengan Conte dilaporkan semakin hampir untuk meninggalkan The Blues berikutan perbalahan dengan pengurusan tertinggi kelab berkaitan perpindahan pemain, sebahagian pemerhati berpendapat Chelsea sedang meniti tempoh kemerosotan yang mereka sendiri ciptakan.
Walaupun kemenangan di Wembley esok tidak akan memadamkan masalah yang membelenggu Chelsea, kejayaan itu akan membantu menutup sangkaan bahawa perasaan tidak harmoni antara Conte dan pemain-pemainnya yang menjadi penyebab kemerosotan prestasi kelab itu.
Pada 12 bulan lalu, Chelsea layak ke perlawanan akhir Piala FA sebagai juara baharu EPL menerusi musim pertama yang hebat di bawah kendalian Conte. Namun mereka meninggalkan Wembley dengan tangan kosong selepas tewas 1-2 yang meninggalkan kesan mendalam kepada pasukan.
“Anda pasti tidak mahu kalah final Piala FA dua kali berturut-turut. Tahun lalu kami tidak bermain dengan baik. Kami menyesal dan kami mahu melakukan perkara yang betul kali ini,” kata pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas.
Kini harapan mereka untuk memenangi piala buat pertama kali sejak 2012 bergantung kepada perancang Belgium, Hazard.
Ketika Hazard gagal mengulangi prestasi hebat musim lalu, banyak komen dikeluarkan Conte namun kemerosotan Chelsea tidak harus diletakkan kepada pemain berusia 27 tahun itu sahaja, namun diakui Hazard adalah penggerak kreatif Chelsea.
“Dia (Hazard) pemain yang hebat. Apabila dia berada di tahap terbaik, dia tidak mampu dihalang,” ujar Fabregas.
United, yang berusaha untuk menyaingi rekod Arsenal memenangi Piala FA 13 kali, menampilkan prestasi lebih baik berbanding Chelsea musim ini apabila menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana.
Namun skuad Mourinho itu berada 19 mata di belakang juara Manchester City dan taktik berhati-hati yang mereka amalkan dalam beberapa perlawanan besar, ditambah pula dengan kekalahan mudah kepada Sevilla untuk tersingkir daripada Liga Juara-juara, telah menyebabkan prestasi mereka dipersoalkan. – AFP

Comments