KAPTEN Chelsea, Gary Cahill menjulang trofi Piala FA sambil diraikan rakan sepasukannya selepas menewaskan Manchester United 1-0 dalam aksi final di Stadium Wembley, London, kelmarin. AFP
LONDON 20 Mei – Eden Hazard memastikan musim hambar Chelsea berakhir dengan catatan gemilang dengan menjulang Piala FA hasil kemenangan 1-0 ke atas Manchester United dalam perlawanan akhir semalam.
Beberapa hari selepas kerap diragui mengenai masa depan di Chelsea, Hazard menjaringkan gol daripada sepakan penalti pada minit ke-22 di Stadium Wembley di sini selepas dijatuhkan oleh Phil Jones.
Sama ada Hazard kekal sebagai pemain Chelsea musim depan bakal bergantung sama ada ‘pemain bagus’ itu ditandatangani di luar musim, berdasarkan ulasan tonggak bahagian sayap itu sebelum perlawanan.
Antonio Conte juga tampak kian tidak mungkin menjadi pengurus yang mengendalikan perjanjian perpindahan itu kerana warga Itali tersebut dijangka beredar selepas dua musim biarpun meraih kejuaraan.
Kemerosotan pesat dalam Liga Perdana England membuatkan masa depan Conte tampak kian terancam. Selepas menjulang piala musim lalu, Chelsea berkesudahan 30 mata di belakang juara yang baharu ditabalkan, Manchester City untuk menduduki tempat kelima minggu lalu dan terlepas slot Liga Juara-juara.
Sementara itu, Jose Mourinho menamatkan musim keduanya di United dengan ‘tangan kosong’, terpaksa membayar harga yang tinggi kerana permainan babak pertama begitu hambar walaupun tampak mulai ‘hidup’ hanya selepas rehat.
United menanti sehingga minit ke-56 untuk melakukan satu percubaan ke sasaran apabila Marcus Rashford menyerang manakala penjaga gol Thibaut Courtois kemudian meluru dari garisan golnya untuk menyekatnya.
United juga meraih tempat kedua Liga Perdana, pencapaian tertinggi kelab itu sejak Alex Ferguson bersara sebagai juara pada 2013. – AGENSI
Comments
Post a Comment