Skip to main content

'Apa da jadi The Blues...'


Ketika pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris giat memperkuatkan pasukan masing-masing untuk menghadapi musim depan, Chelsea pula berdepan masalah susulan kedudukan pengurus Antonio Conte dan pemilik Roman Abramovich yang tidak menentu.
Kedudukan di tangga kelima selepas setahun merangkul gelaran liga dalam musim pertama Conte, ramai menjangkakan aksi final Piala FA adalah penampilan terakhir pengurus dari Itali itu mengendalikan Chelsea meskipun berjaya mengalahkan Manchester United 1-0.
Bagaimanapun, dua minggu berlalu, masih belum ada keputusan membabitkan kedudukan Conte dengan bekas pengurus Paris Saint-Germain, Laurent Blanc dan Maurizio Sarri yang baru digantikan oleh Carlo Ancelotti di Napoli kini dikaitkan sebagai pengganti.
Kelewatan dalam membuat keputusan itu dikatakan berpunca dengan masalah jutawan Russia Abramovich memperbaharui visa British yang sebelum ini menjadi penyumbang dana terbesar dalam memastikan kejayaan Chelsea sejak mengambil alih kelab pada 2003.
Ia susulan krisis diplomatik antara London dan Moscow berhubung ejen perisik Rusia yang diracun selain tindakan beberapa pihak yang mahu mengenakan sekatan ke atas jutawan Russia itu membelanjakan kemewahan miliknya di London.
Menurut duta Israel di Rusia, Abramovich sudah mendapat kerakyatan Israel dan sudah menetap di sana.
Chelsea minggu lalu mengumumkan tidak akan meneruskan pelan pembangunan semula Stamford Bridge dengan kapasiti 60,000 penonton berikutan masalah pelaburan.
Sejak Abramovich mengambil alih Chelsea, kelab London itu muncul kelab England paling berjaya dengan memenangi lima gelaran liga, kejuaraan pertama Liga Juara-Juara, Liga Europa dan lima Piala FA dalam tempoh 15 tahun.

Comments