Skip to main content

Morata kembali bangkit rebut tempat di Chelsea

Alvaro Morata.
LONDON: Musim pertama Alvaro Morata di Chelsea gagal mengikut perancangan, namun penyerang itu berazam untuk bangkit 'bertarung' menjelang kempen baharu musim 2018-2019.
Pemain berusia 25 tahun itu berdepan kritikan pada musim sulungnya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), selepas berdepan cabaran menggantikan penyerang prolifik, Diego Costa dan dia hanya menjaringkan 11 gol dalam saingan liga.
Menerusi laman sosial Instagram rasminya, Morata menepis laporan dia mahu mencari jalan keluar, sebaliknya berjanji untuk kembali dengan lebih kuat pada musim 2018-2019.
"Sangat menarik untuk bermula sekali lagi," katanya. "Apa yang sudah berlalu sangat sukar tetapi itu hanya satu lagi sebab untuk kembali bertarung."
Prestasi kurang memberangsangkan Morata menyaksikan dia disingkirkan di bawah kendalian pengurus, Antonio Conte, terutama pada babak kedua musim.
Krisis keyakinan di depan gawang menyebabkan dia juga tidak disenaraikan dalam skuad 23 pemain Sepanyol ke Piala Dunia ketika mereka kini bersedia bagi saingan 16 pasukan terbaik berdepan tuan rumah, Russia.
Ketika Morata mengambil peluang bercuti dengan pasangannya Alice Campello, penyerang itu amat mengambil berat mengenai kecergasannya dan tampak sudah berada pada tahap terbaik berbanding rakan sepasukan sebelum kembali untuk persediaan pra musim.
Dia menjalani latihan 'ala tinju' bersama Bruno Visentin baru-baru ini dan tampak bersedia sepenuhnya untuk memastikan dia tidak diganti sebagai penyerang pilihan utama kelabnya.
Namun masih belum pasti siapa akan menguruskan Morata dan rakan sepasukannya musim depan, dengan Maurizio Sarri dikatakan semakin hampir dilantik ketika Conte masih lagi kekal di situ. - Agensi

Comments