Real tawar 532.30 juta untuk Courtois, Willian
THIBAUT COURTOIS
LONDON 30 Julai - Thibaut Courtois hanya menunggu Chelsea memberi lampu hijau untuk membolehkannya menyertai gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid.
Penjaga gol Belgium itu menjangkakan dia bakal berhijrah ke Santiago Bernabeu bersama rakan sepasukannya di Chelsea dan Belgium iaitu Eden Hazard, namun apa yang difikirkan sama sekali meleset.
Biarpun sejak awal lagi Hazard menjadi sasaran No. 1 Los Blancos bagi menggantikan Cristiano Ronaldo, namun akhbar Britain mendakwa, Real sudah menyerahkan tawaran bernilai 100 juta pound (RM532.30 juta) bagi mendapatkan Courtois dan Willian.
Menurut Daily Mail, menawarkan jumlah besar untuk Willian, dan bukannya Hazard dilihat tawaran yang ‘menggoda’ buat Chelsea.
Kata akhbar itu lagi, mengalihkan sasaran daripada Hazard kepada Willian adalah cara buat Real menyekat percubaan musuh ketatnya, Barcelona yang dikatakan turut berminat mendapatkan pemain sayap Brazil berusia 29 tahun itu.
Selain Barcelona, Willian turut menjadi sasaran Manchester United.
Courtois, 26, hanya berbaki setahun dalam kontraknya, dan Penjaga Gol Terbaik Piala Dunia 2018 itu tidak pernah menyembunyikan minat untuk berpindah ke Madrid kerana anaknya tinggal di ibu negara Sepanyol tersebut.
Sejak minggu lalu, Chelsea dikatakan cuba mendapatkan penjaga gol No. 1 England, Jordan Pickford bagi menggantikan Courtois, namun akhbar Times melaporkan, Everton sedia menawarkan kontrak baharu kepada pemain berusia 24 tahun itu.
Chelsea yang mendapat sentuhan jurulatih baharu, Maurizio Sarri juga dikatakan membatalkan hasrat untuk membeli pertahanan Juventus, Daniele Rugiani.
Blues sebaliknya sudah beralih kepada rakan sepasukan Rugiani yang jauh lebih murah, Mattia Caldara. – AGENSI
Comments
Post a Comment