THIBAUT COURTOIS - REUTERS
LONDON 30 Julai - Real Madrid telah mengemukakan tawaran sebanyak 100 juta pound (RM531 juta) kepada Chelsea bagi mendapatkan khidmat penjaga gol, Thibaut Courtois dan pemain tengah, Willian, menurut sumber di Sepanyol.
Penjaga gol Belgium itu tidak berahsia apabila menyatakan keinginannya untuk berpindah kembali ke ibu negara Sepanyol iaitu tempat di mana anaknya tinggal. Dia hanya memiliki baki kontrak selama setahun di Chelsea.
Selepas mempamerkan persembahan mengagumkan pada Piala Dunia, Willian, 30, kelihatan nekad untuk menyertai Barcelona, minggu lalu, tetapi kelab Catalan itu enggan membayar tuntutan harga yang diletakkan Chelsea iaitu sebanyak 70 juta pound (RM372 juta) dan mereka akhirnya mengalihkan sasaran dengan mendapatkan khidmat pemain sayap Bordeaux, Malcom.
Kini Real mahu memasukkan sekali Willian untuk dibeli bersama Courtois dan kelab gergasi Sepanyol itu bersedia membayar yuran perpindahan sebanyak 65 juta pound (RM345 juta) bagi khidmat bintang antarabangsa Brazil tersebut.
Courtois sememangnya menjadi sasaran Real sebelum ini apabila lembaga kelab yakin mereka berpeluang mendapatkan penjaga gol tersebut sebaik Chelsea dapat mencari pengganti.
Chelsea mempunyai masa sehingga 9 Ogos ini sebelum tarikh tutup jendela perpindahan dalam usaha mereka untuk mendapatkan penjaga gol Stoke, Jack Butland yang dilihat sasaran lebih mudah berbanding pilihan utama, Jordan Pickford yang mana Everton enggan melepaskan penjaga gol itu.
Untuk penjualan Courtois pula, Chelsea mempunyai masa yang lebih panjang sehingga 31 Ogos ini sebelum jendela perpindahan La Liga ditutup.
Niat Real membawa masuk Willian pula ialah bagi membuka laluan kepada Gareth Bale untuk beraksi di posisi penyerang, musim ini, berbanding bahagian sayap kanan yang gagal menyerlahkan bakat bintang Wales itu. - AGENSI
Comments
Post a Comment