Skip to main content

Golovin pilih Monaco

ALEKSANDR Golovin
MOSCOW: Pemain tengah, Aleksandr Golovin yang menjadi antara tonggak Russia di Piala Dunia menyertai AS Monaco dari  CSKA Moscow dengan perjanjian lima tahun, kata kelab berkenaan, hari ini.
Media Perancis melaporkan Monaco membayar sekitar 30 juta euro (RM142.03 juta) bagi pemain berusia 22 tahun itu yang memainkan peranan penting membantu Russia mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia di laman sendiri.
Pemain tengah serba boleh itu menyumbat satu gol dan membuat dua umpanan ketika Russia menewaskan Arab Saudi, Mesir dan Sepanyol sebelum tewas kepada Croatia menerusi penentuan penalti di peringkat lapan terakhir.
"Dia pemain muda yang berbakat, amat menyerlah ketika Piala Dunia tetapi kami sebenarnya sudah mengikuti perkembangannya agak lama," kata Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Monaco, Vadim Vasilyev.
"Dia sudah pun mempunyai pengalaman yang secukupnya dalam divisyen pertama bola sepak Russia dan antarabangsa. Disebalik persaingan daripada banyak kelab-kelab ternama Eropah, Aleksandr akhirnya memilih Monaco yang menawarkan persekitaran terbaik untuknya terus meningkat."
Sepanjang tiga musim bersama CSKA, Golovin bermain dalam 113 perlawanan, termasuk 23 penampilan dalam kancah Liga Juara-Juara dan Liga Europa.
Dia yang turut dikaitkan dengan dua kelab Inggeris, Chelsea dan Arsenal pernah menjulang trofi Liga Russia pada 2016. - Reuters

Comments