Lewandowski tidak minat tinggal di Manchester
ROBERT LEWANDOWSKI
LONDON 31 Julai - Chelsea berusaha meyakinkan Bayern Munich untuk menjual bintang penyerang mereka yang turut menjadi sasaran utama Manchester United, Robert Lewandowski.
Bayern sebelum ini menolak semua permintaan bintang Poland tersebut untuk meninggalkan Allianz Arena selepas meledak 106 gol daripada 126 penampilan sepanjang empat tahun bersama juara Jerman itu.
Bagaimanapun pengurus baharu Chelsea, Maurizio Sarri meletakkan Lewandowski sebagai sasaran No. 1, malah sanggup membayar 80 juta pound (RM427.86 juta) untuk mendapatkan tandatangannya.
Ia bukan rahsia, Lewandowski mahu meninggalkan gergasi bola sepak Bundesliga itu biarpun Bayern keberatan untuk melepaskannya tanpa mendapat pengganti.
Semalam, pengurus baharu Bayern, Niko Kovac menegaskan, Lewandowski, yang masih memiliki kontrak tiga tahun di Allianz Arena tidak akan ke mana-mana.
“Dia tidak akan meninggalkan kelab ini. Kami sama sekali tidak akan melepaskannya.
“Memang betul, Robert ada bercakap tentang pergi ke tempat lain. Itu adalah perkara yang dia mahu, tetapi bukan apa yang kami mahu.
“Keputusan di tangan kami. Robert masih mempunyai kontrak. Saya tidak tahu berapa lama dia akan kekal di sini, tetapi dia akan terus berada di sini selama yang boleh,” kata Kovac.
United dan Paris Saint-Germain (PSG) sebelum ini turut menyuarakan minat untuk mendapatkan Lewandowski, malah sedia berbelanja besar jika Bayern sanggup melepaskannya.
Bagaimanapun menurut akhbar harian Britain, Metro, Lewandowski menolak perpindahan ke Old Trafford kerana menganggap Manchester bukan tempat yang menarik untuk didiami.
Dia lebih berminat untuk mencari perpindahan ke Real Madrid sekiranya juara Eropah itu menginginkan khidmatnya atau ke bandar besar lain seperti Paris dan London.
Selain Lewandowski, Chelsea juga berusaha membawa masuk penyerang Juventus, Gonzalo Higuain bagi menguatkan jentera serangan Blues, yang terdesak untuk kembali dalam kelompok empat terbaik musim depan selepas sekadar menghuni tangga kelima musim lalu. – AGENSI
Comments
Post a Comment