EDEN HAZARD (tengah) diraikan rakan-rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pembukaan Chelsea ketika menentang Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris, hari ini. - AFP
LONDON 30 Sept. - Chelsea masih belum kalah dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Maurizio Sarri menggantikan Antonio Conte di Stamford Bridge pada awal musim ini.
Begitupun, Sarri menjangkakan pasukannya sukar menamatkan saingan dalam kedudukan dua terbaik, dan memilih Manchester City serta Liverpool sebagai pilihan untuk merangkul kejuaraan.
Blues dinafikan kemenangan ketika menentang Liverpool hari ini selepas rembatan cantik Daniel Sturridge di hujung perlawanan membantu pasukan pelawat mengikat kedudukan 1-1.
Itu bermakna, Chelsea kini menghuni tangga ketiga liga dengan dua mata di belakang City dan Liverpool, yang berkongsi 19 mata selepas tamat tujuh perlawanan.
“Untuk menamatkan saingan dalam kedudukan dua terbaik liga, pada saya ia sangat sukar.
“Saya fikir, City dan Liverpool masih satu langkah di depan kami. Ia misi yang cukup..cukup sukar.
“Apa pun saya yakin, kami mampu bersaing untuk merebut tempat dalam Liga Juara-Juara (empat terbaik).
“Di sini (EPL), untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik juga tidak mudah. Ada sekurang-kurangnya enam atau tujuh pasukan terbaik Eropah bersaing dalam liga England, jadi ia sangat sukar,” kata Sarri kepada pemberita.
Dalam aksi di Stamford Bridge hari ini, Chelsea berada pada kedudukan baik untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut ke atas Liverpool dalam tempoh empat hari selepas gerakan cantik Eden Hazard meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-25.
Ketika kedudukan 1-0 kelihatan akan kekal sehingga tamat permainan, pemain gantian, Sturridge melakukan rembatan jauh ke penjuru gawang Chelsea pada minit ke-89 untuk memastikan Liverpool pulang bersama satu mata. - AGENSI
Comments
Post a Comment