Skip to main content

Sarri ‘kunci’ pemain sejam

MAURIZIO SARRI (kanan) kecewa melihat persembahan Chelsea ketika

MAURIZIO SARRI (kanan) kecewa melihat persembahan Chelsea ketika dibelasah 4-0 oleh Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Vitality, Bournemouth semalam. AFP



BOURNEMOUTH 31 Jan. - Maurizio Sarri menjelaskan, mengapa dia ‘mengunci’ pasukannya selama sejam selepas Chelsea dimalukan dengan kekalahan terburuk dalam tempoh 23 tahun di Bournemouth, hari ini.
Blues terkeluar daripada kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris selepas diratah 4-0 oleh Bournemouth, yang menceriakan ribuan penyokong di Stadium Vitality menerusi dua jaringan Joshua King dan satu gol daripada David Brooks serta Charlie Danniels.
Sarri membiarkan wartawan menunggu lama dalam bilik media kerana mahu bercakap de­ngan pemainnya sejurus selepas perlawanan itu.
“Dalam situasi begini, saya mahu bercakap sendiri dengan mereka tanpa ada orang lain.
“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya perlu memahami apa sebenarnya yang berlaku. Saya benar-benar tidak faham, permainan mereka berbeza pada babak pertama dan kedua.
“Saya akan jumpa mereka lagi esok. Buat masa sekarang, kami kena memohon maaf kepada penyokong. Sudah tentu kekalahan boleh berlaku tetapi bukan de­ngan cara begini. Sebab itu kami kena segera atasi masalah ini,” kata pengendali dari Itali itu.
Sarri juga diejek oleh penyokong ketika dia mengeluarkan Gonzalo Higuain pada minit ke-65 untuk diganti dengan ­Olivier Giroud.
Ketika Higuain melangkah keluar padang, peminat Blues melaungkan ‘Kamu tidak tahu apa yang kamu lakukan’.
Penyerang Argentina itu gagal menyerlah dalam penampilan sulung Liga Perdana selepas diturunkan buat kali pertama ketika menentang Sheffield Wednesday pada Piala FA, Selasa lalu.
“Saya minta maaf kepada semua, mungkin ini salah saya juga kerana gagal menaikkan motivasi pemain,” kata Sarri lagi.
Chelsea yang kini menghuni tangga kelima liga dengan berkongsi 47 mata bersama pa­sukan tempat keempat, Arsenal akan menerima kunjungan Huddesfield di Stamford Bidge, London, Sabtu ini dalam sai­ngan liga seterusnya. – AGENSI

Comments