Skip to main content

Sesi 'panas' suntik semangat Chelsea


LONDON: “Jatuh kembali memang sangat mengecewakan. Kami sangat marah. Ia tidak boleh diterima pasukan ini dan kami perlu cari penyelesaian,” menurut kapten Chelsea Cesar Azpilicueta.
Dia turut berharap keputusan Maurizio Sarri mengadakan perbincangan panjang selepas kekalahan memalukan Chelsea di tangan Bournemouth mampu mencetuskan kebangkitan menjelang pertembungan dengan pasukan bawahan liga, Huddersfield.
Skuad kendalian Sarri tewas 4-0 awal pagi Khamis lalu sekali gus menyaksikan kekalahan terbesar Chelsea dalam Liga Perdana sejak 1996.
Bukan kali pertama Chelsea musim ini menguasai perlawanan pada babak pertama tetapi gagal menjaringkan gol. Sebaliknya kubu mereka roboh dihukum Bournemouth selepas rehat akibat pertahanan longgar David Luiz dan Antonio Rudiger.
Kekalahan kelima Chelsea dalam 12 aksi terakhir menyebabkan mereka dipintas Arsenal di tempat keempat berdasarkan perbezaan jaringan sekali gus kedudukan Sarri yang tiba dari Napoli pada Julai lalu dalam bahaya.
Pengendali Itali yang berang itu meminta staf sokongan meninggalkan bilik persalinan Chelsea di Dean Court ketika dia membuat ‘bedah siasat’ selama 40 minit bersendirian dengan skuadnya.
“Kami bercakap seperti seorang lelaki antara pengurus dan pemain,” kata Azpilicueta. “Ia keputusan yang sukar selepas dua kemenangan dalam saingan merebut piala. Untuk tewas 4-0 sebagai pemain Chelsea memang tidak boleh diterima.”
Azpilicueta mengakui prestasi mereka jauh daripada tahap sebenar dan tidak menepati ciri juara Liga Perdana 2016/17.
Namun pertahanan kanan itu berharap sesi tegang itu akan menjadi peringatan buat pasukan untuk menghadapi baki saingan musim ini.

Comments