VICTOR CAMASARA (kiri) meletakkan Cardiff di depan pada minit ke-46, malangnya dua gol lewat permainan membolehkan Chelsea bangkit untuk menang 2-1 di Stadium Cardif, Wales hari ini. - AFP
LONDON 31 Mac - Jaringan Cesar Azpilicueta dan Ruben Loftus-Cheek dalam tempoh enam minit terakhir meletakkan Cardiff dalam bahaya tersingkir dari Liga Perdana Inggeris selepas membenarkan Chelsea melakar kemenangan dramatik 2-1 di Stadium Cardiff, Wales sebentar tadi.
Pada ketika kemenangan membolehkan Chelsea menghambat pasukan tangga keempat, Manchester United dengan satu mata di belakang, Cardiff yang dimiliki oleh jutawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan sebalinya terperosok ke kedudukan tiga tercorot liga.
Kekalahan ke-19 musim ini meletakkan Bluebirds di zon penyingkiran dengan mengumpul 28 mata, empat mata dipisahkan pasukan keempat tercorot, Burnley.
Biarpun memulakan saingan dengan langkah kanan apabila terlebih dulu mendahului menerusi pemain tengah dari Sepanyol, Victor Camarasa pada minit ke-46, namun kegagalan mengekang asakan Chelsea ketika permainan menuju ke penghujung saingan menghukum Cardiff.
Tiga pasukan tercorot liga akan tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan, yang mana Huddersfield sudah menjadi pasukan pertama terkeluar dari Liga Perdana ekoran kekalahan 0-2 kepada Crystal Palace, semalam.
Empat pasukan teratas pula akan meraih tiket ke Liga Juara-Juara musim depan. Ketika ini kedudukan Manchester City dan Liverpool dilihat selamat, sekali gus menyaksikan dua lagi slot menjadi perebutan antara Tottenham United, Arsenal serta Chelsea. - AGENSI
Comments
Post a Comment