
BEKAS pengurus Itali dan Chelsea, Antonio Conte dilantik jurulatih baharu Inter Milan. - Foto AFP
MILAN: Inter Milan mengumumkan pelantikan bekas pengurus Itali dan Chelsea, Antonio Conte sebagai jurulatih baharu dengan misi untuk menamatkan dominasi Juventus di Serie A.
Menurut beberapa laporan, pengurus berusia 49 tahun itu menandatangani kontrak selama tiga tahun bernilai sembilan juta euro (RM42 juta) termasuk bonus.
Dia menggantikan Luciano Spalletti yang meninggalkan pasukan itu selepas berjaya membantu mereka mengesahkan tempat ke saingan Liga Juara-Juara buat musim kedua berturut-turut.
Dengan juara Serie A sebanyak 18 kali itu memburu trofi pertama sejak kali terakhir memenangi Coppa Italia 2011, Conte dilihat sebagai individu yang tepat untuk menjayakan misi itu.
Dia memenangi tiga kejuaraan Serie A bersama Juventus selain merangkul trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA bersama Chelsea.
"Permulaan baharu dalam kehidupan saya. Saya tidak sabar menantikannya. Saya memilih Inter kerana pasukan ini memiliki perancangan dan wawasan," kata Conte.
Pengerusi Inter Milan, Steve Wang berkata 'saya yakin Antonio Conte adalah antara jurulatih yang terbaik.
"Saya percaya dia akan membantu kita mencapai sasaran yang ditetapkan...untuk menjadikan pasukan ini kembali sebagai antara pasukan terbaik di dunia."
Sebelum ini, Conte turut dikaitkan dengan kepulangan ke Juventus selepas pengendalinya, Massimiliano Allegri mengumumkan dia bakal meninggalkan pasukan itu.
Comments
Post a Comment