Skip to main content

Prestasi kami lebih baik berbanding menentang Chelsea

OLE GUNNAR SOLSKJAER
OLE GUNNAR SOLSKJAER
LONDON 31 Ogos - Manchester United gagal lagi mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris selepas diikat 1-1 oleh 10 pemain Southampton hari ini.
Begitupun pengurusnya, Ole Gunnar Solskjaer mengeluarkan kenyataan mengejut sejurus tamat permainan apabila mengatakan prestasi Red Devils adalah lebih baik berbanding ketika membelasah Chelsea 4-0 dalam aksi pembukaan di Old Trafford, 11 Ogos lalu.
Sejak kemenangan tersebut, United gagal memenangi sebarang perlawanan apabila diikat 1-1 oleh Wolverhampton pada 20 Ogos, sebelum dimalukan 2-1 oleh Crystal Palace di tempat sendiri, minggu lalu.
“Apa yang peliknya, kami bermain jauh lebih baik dalam tiga perlawanan terakhir berbanding ketika mengalahkan Chelsea.
“Ketika menentang Chelsea, mereka menekan kami dan memaksa kami melakukan serangan balas. Begitupun dalam tiga perlawanan terakhir, kami menguasai permainan, mencipta banyak peluang cuma tidak cukup klinikal di depan pintu gol untuk memenangi perlawanan.
“Ada perlawanan yang mana kami gagal menyudahkan penalti (menentang Palace dan Wolverhampton). Kami juga terlepas beberapa peluang keemasan, jadi ia bukan penurunan prestasi, sebaliknya penurunan keputusan perlawanan,” katanya kepada BT Sports. - AGENSI

Comments