
FRANK Lampard akan melakukan apa saja bagi mempertahankan Callum Hudson-Odoi. - Foto Reuters
LONDON: Frank Lampard akan melakukan apa saja bagi mempertahankan Callum Hudson-Odoi selepas penyerang England itu dikecam di media sosial.
Pemain remaja itu bergelut dengan prestasinya ketika kekalahan 2-0 Chelsea di laman sendiri kepada Southampton pada aksi Boxing Day, penampilan sulungnya dalam kesebelasan pertama sejak Oktober, dan turut menjadi bahan ejekan.
Tetapi pemain 19 tahun itu tampil lebih baik ketika kemenangan 2-1 ke atas Arsenal hujung minggu lalu.
Pengendali Chelsea, Lampard berkata tugasnya adalah untuk menghalang kritikan dari luar daripada mengganggu skuadnya dan membantu Hudson-Odoi mencapai prestasi terbaiknya.
“Saya rasa pada usia 19 tahun kita tidak boleh mengharapkan seseorang pemain itu beraksi cemerlang dan apabila tidak terjadi dia dikritik di media sosial, dan saya akan mempertahankannya daripada itu,” kata Lampard.
“Bayangan prestasi sebenarnya dapat dilihat ketika di Arsenal, dia mampu melakukan perkara sebegitu.”
Lampard, bekas perancang Chelsea dan England berkata, Hudson-Odoi pasti akan mencapat potensi sebenarnya dengan sokongan penuh pasukan dan peminat.
“Saya belum bercakap dengannya secara peribadi mengenai perkara itu. Apa yang berlaku di media sosial adalah perkara biasa.
“Anda tidak boleh ambil peduli dan perlu mengabaikannya,” katanya.
Chelsea bertandang ke Brighton hari ini dengan skuad kendalian Lampard berada di tangga keempat Liga Perdana Inggeris. – AFP
Comments
Post a Comment