JOSE MOURINHO (kiri) dan Antonio Conte terpaksa dileraikan oleh pembantu
pengadil setelah bertelagah dalam pertemuan mereka sebelum ini.
LONDON 24 Feb. – Antonio Conte dan Jose Mourinho
enggan berperang mulut menjelang pertemuan hebat di antara Manchester United
dan Chelsea di Old Trafford esok.
Pengurus The Blues itu sebelum ini sudah
beberapa kali bertelagah dengan Mourinho sejak tiba di Stamford Bridge pada
2016.
Perselisihan mereka bertambah buruk musim ini
apabila Mourinho menyifatkan rakan sejawatannya itu tidak perlu ‘berkelakuan
seperti badut’ di tepi padang dan Conte kemudian membalas serangan itu dengan
mendakwa pengendali United itu mungkin sudah ‘nyanyuk’.
Conte kemudian menyifatkan Mourinho sebagai
lelaki kerdil kerana mengaitkan dirinya dengan insiden mengatur perlawanan
sehingga menyebabkan dirinya digantung.
Pertelagahan baru-baru ini mencapai kemuncak
apabila kedua-duanya mengakui saling membenci satu sama lain.
Namun Conte tidak mahu melayan soalan mengenai
hubungannya dengan bekas jurulatih Chelsea itu ketika sidang akhbar pasukan
menjelang perlawanan malam esok.
“Kami saling bercakap perkara buruk sebelum ini.
“Saya tidak berminat bercakap mengenai topik
ini,” kata Conte.
Mourinho juga mahu terus melupakan pertelagahan
itu.
“Saya tidak mahu bercakap mengenainya. Saya
beritahu awak sebelum ini, saya tidak akan bercakap mengenainya. Tidak sama
sekali.
“Itu bukan soalnya. Apa yang penting bagi saya
adalah pengurus yang bagus dan pasukan yang hebat. Itu sahaja,” katanya.
Perlawanan mereka esok boleh menjadi penentu
kepada nasib kedua-dua pasukan dalam perebutan tempat ke Liga Juara-juara.
Pasukan di tempat kedua United ketika ini hanya
berada tiga mata dan dua anak tangga di hadapan Blues dan Conte sedar bahawa
persaingan merebut tempat dalam Liga Juara-juara amat sengit.
“Kami perlu fokus kepada diri sendiri sahaja dan
menyedari bahawa, dari sekarang hingga ke penghujungnya, semua perlawanan
adalah sangat penting,” kata pengurus dari Itali itu. – AFP

Comments
Post a Comment