PENYERANG Manchester United, Romelu Lukaku menyepak masuk gol pertama
pasukannya ketika menentang Chelsea dalam perlawanan Liga Perdana di Old
Trafford, Manchester semalam. Manchester menang 2-1. – AFP
MANCHESTER 26 Feb. -
Romelu Lukaku menutup mulut pengkritik yang selama ini mempersoalkan
keupayaannya apabila menjaringkan gol serta membantu Jesse Lingard membolosi
gawang lawan ketika membantu Manchester United bangkit daripada ketinggalan
untuk menewaskan Chelsea 2-1.
Penyerang Belgium itu tidak menjaringkan gol
dalam enam penampilannya menentang enam pasukan teratas Liga Perdana Inggeris
(EPL) sehingga ada yang menganggapnya hanya mampu menyerlah ketika menentang
kelab bawahan sahaja.
Bagaimanapun, Lukaku telah meledak 22 gol dalam
semua pertandingan sejak melengkapkan perpindahan bernilai 75 juta pound (RM410
juta) daripada Everton pada Julai lalu.
“Tidak teruk pun kerana anda boleh sentiasa
memperbaiki tahap prestasi. Saya mahu melakukan lebih baik untuk kelab. Saya
berada di Manchester United dan mahu memenangi banyak trofi. Itu lebih
penting,” katanya.
Pengurus United, Jose Mourinho menghamburkan
pujian kepada Lukaku atas persembahan cemerlangnya yang pantas menyesuaikan
diri dengan corak permainan pantas diterapkan oleh Chelsea.
Pasukan pelawat berada di depan menerusi
percubaan Willian pada minit ke-32 ketika Alexis Sanchez serta Paul Pogba gagal
beraksi dengan baik.
Bagaimanapun, kelebihan Chelsea tidak kekal lama
apabila tujuh minit kemudian Lukaku menyamakan kedudukan sebelum Lingard
menggandakan jaringan pada minit ke-75.
“Saya fikir dia bermain dengan baik. Dia
kelihatan hilang arah seketika namun dia kembali bersama pasukan. Pasukan
semakin meningkat...dia menamatkan permainan ini dengan imej gol dalam tangan,”
kata Mourinho.
Dalam pada itu, aksi cemerlang Lukaku turut
mendapat perhatian pengurus Chelsea, Antonio Conte apabila berkata: “Seperti
pemain lain, dia cuba memberikan yang terbaik. SUdah tentu dia boleh
memperbaiki persembahannya”. – AFP

Comments
Post a Comment