LONDON: Antonio Conte berkata Chelsea bukan pasukan pilihan
ketika bertemu Manchester United dan seteru lamanya, Jose Mourinho di final
Piala FA.
Skuad kendalian Conte mara susulan kemenangan 2-0 ke atas
Southampton pada aksi separuh akhir, awal pagi tadi sekali gus menempah
pertembungan menarik dengan United di Wembley pada 19 Mei ini.
Tetapi Conte tidak percaya Chelsea yang tewas 1-2 oleh Arsenal
dan tiba selaku penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) pada final tahun
lalu akan diletakkan sebagai pilihan untuk menjulang trofi penuh berprestij
itu.
PENYERANG Chelsea, Olivier Giroud (kanan) menjaringkan gol ketika
menentang Southampton pada aksi spearuh akhir Piala FA Inggeris. - Foto EPA
"Final kali ini adalah perlawanan membabitkan dua pasukan
yang hebat. Dalam minda saya, saya boleh memberitahu kamu yang (musim lalu)
kami bermain sebagai pasukan pilihan menentang Arsenal," kata Conte.
"Tetapi saya fikir pada musim ini kami hadir sebagai
pasukan bukan pilihan. Pada musim lalu, kami tewas di final sekali pun dijangka
akan menang."
Berdasarkan pergeseran membabitkan kedua-dua pengurus itu pada
musim ini, tumpuan dijangka akan lebih terarah kepada mereka berbanding pemain
ketika perlawanan itu nanti.
MANCHESTER
United mara ke final Piala FA Inggeris selepas menyingkirkan Spurs pada
pusingan separuh akhir untuk bertemu Chelsea. - Foto Reuters
Conte sebelum ini melabel
Mourinho sebagai 'lelaki kecil' yang mempunyai penyakit mental selepas pengurus
United itu menggelarkan dirinya 'badut' berikutan sikapnya yang penuh
bersemangat di tepi padang.
Mourinho juga turut
mengaitkan Conte dengan skandal mengatur perlawanan ketika pengurus dari Itali
itu sudah pun dibebaskan daripada sebarang pertuduhan yang mengaitkannya dengan
isu berkenaan.
Awal minggu ini, Conte turut
cuba menaikkan amarah Mourinho dengan menegaskan pengurus dari Portugal itu
mengharungi tugasan lebih mudah di Chelsea berbanding dirinya.
Tetapi selepas kemenangan
ke atas Southampton, Conte mendakwa dia tidak memiliki sebarang masalah dengan
Mourinho. - AFP


Comments
Post a Comment